Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sabtu, 18 Disember 2010

Hijrah yang dituntut

Dipetik daripada nota facebook Ustaz Abdullah Yassin

Daripada Ibnu Amru daripada Nabi SAW sabdanya : Sebaik-baik orang yang berhijrah, ialah orang yang berhijrah (meninggalkan) apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT. (HR al-Tabaraniy - Hadis Sahih - Himpunan Hadis-Hadis Sahih No. 1491 - Lihat Sahih al-Jami' al-Saghir - Oleh Al-Albaniy.

Penjelasan hadis :

1. Hijrah menurut bahasa maknanya berpindah atau meninggalkan yang pertama menuju kepada yang kedua. Hijrah dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. ( هِجْرَة حِسِّيَّة  ) : Hijrah Fisikal ; 2. (  هِجْرَة مَعْنَوِيَّة  ) : Hijrah Sikap.Hijrah Fisikal ialah berpindah dari satu negeri ke negeri lain. Hijrah jenis ini tidak dituntut kecuali jika darurat. Umpamanya jika kita tinggal disuatu negeri yang tidak membenarkan kita melaksanakan syareat Allah seperti tidak boleh solat, tidak boleh menutup aurat dan lain-lain, maka ketika itu kita wajib berhijrah jika memungkinkan.Adapun Hijrah Sikap adalah wajib dan Fardhu 'Ain ke atas setiap muslim dan muslimat. Hijrah jenis inilah yang diisyaratkan oleh Hadis Sahih di atas.

2. Berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah adalah jenis hijrah yang paling afdhal dan paling utama. Inilah yang dimaksudkan dengtan Hijrah Sikap. Umpamanya : Berhijrah daripada sikap atau sifat pemalas kepada sifat rajin ; daripada pengotor kepada pembersih ; daripada pemarah dan panas baran kepada penyabar ; daripada pendendam kepada pemaaf ; daripada bodoh kepada berilmu pengetahuan. Dan yang paling utama dari semua itu ialah berpindah daripada Syirik kepada Tauhid ; daripada Bid'ah kepada Sunnah ; daripada beragama secara Taqlid kepada Ittiba'.

3. Umat Islam jika ditinjau dari sudut "mengikut" terbagi kepada dua, iaitu : 1. Taqlid : Mengikut secara membuta tuli dan tidak tahu sama ada yang diikutinya itu ada dalil atau tiada dalil. 2. Ittiba' : Mengikut juga tetapi mengetahui ada dalilnya. Menurut istilah agama, orang tang bertaqlid dipanggil Muqallid, sedangkan orang yang ittiba' dipanggil Muttabi'. Dan sudah pasti dalam hal ini kedudukan Muttabi' adalah lebih tinggi dan lebih mulia di sisi Allah berbanding dengan Muqallid. Ini kerana Islam adalah agama ilmu, bukan agama ikut-ikutan atau ikut secara membuta tuli. Malah Islam sangat melarang umatnya bertaqlid secara tetus menerus. Oleh itu, setiap muslim wajib terus berusaha mencari dan menambah ilmu agama agar segala keyakinan dan amalannya selama ini mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah. Bukan hanya bertaqlid sampai mati, padahal peluang mencari ilmu zaman ini sangat mudah.

4. Kembali kepada topik pembahasan. Hijrah paling afdhal ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Menurut Kaedah Ilmu Ushul : Larangan Allah juga tersirat di dalam semua suruhan-Nya. Maksudnya : Larangan Allah bukan datangnya hanya dalam bentuk larangan, seperti : Jangan membunuh, jangan mendekati zina, jangan mengumpat, jangan mencela, jangan mencuri, jangan berburuk sangka dan lain-lain. Tetapi larangan juga tersirat di dalam semua suruhan Allah. Contoh : Dalam suruhan mendirikan solat tersirat larangan jangan abaikan solat, dalam suruhan mentauhidkan Allah tersirat larang syirik, dalam suruhan mengikuti ibadat cara Rasulullah SAW tersirat larangan berbuat bid'ah, dalam suruhan berbuat ihsan kepada ibu bapa tersirat larangan durhaka kepada mereka berdua dan lain-lain.

5. Menurut para ilmuan Islam : Dosa kerana tidak melakukan suruhan Allah SWT adalah lebih besar dan lebih dahsyat berbanding terlanggar larangan Allah. Walaupun kedua-duanya adalah dosa. Kesimpulan ini berdasarkan sikap Iblis dan Adam ketika dalam syurga. Iblis berdosa kerana tidak melakukan suruhan agar sujud kepada Adam. Adam juga berdosa kerana beliau melanggar larangan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Walaupun kedua mereka berdosa, tetapi dosa Iblis lebih besar jika dibandingkan dosa Adam sebab motif keengganan Iblis sujud adalah sombong (takabbur), tetapi motif Adam melanggar larangan Allah adalah kerana terlupa dan tertipu oleh rayuan Iblis. 

6. Ibu bapa dinasihatkan agar memperbetul persepsi yang salah ini. Terdapat dalam masyarakat kita sesetengah orang tua yang beranggapan bahawa anaknya sudah baik,  jika mereka tidak terlibat dadah, pergaulan bebas, mencuri, berzina tetapi pada masa yang sama anak-anaknya tidak solat, tidak menutup aurat, tidak berbuat ihsan kepada orang tuanya. Kita tidak menafikan bahawa semuanya dosa dan wajib dijauhi semuanya. Namun dosa tidak membuat suruhan Allah adalah lebih besar berbanding terlanggar larangan Allah. Diharap para pembaca tidak salah faham dengan penjelasan ini. Perkara ini didedahkan hanya bertujuan untuk memperbetul persepsi atau anggapan yang salah dikalangan sesetengah masyarakat kita.

7. Kewajipan utama umat manusia dimuka bumi adalah mentaati atau mematuhi Allah. Taat dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. Buat apa yang Allah suruh, 2. Tinggalkan apa yang Allah larang. Oleh itu, tidak sempurna ketaatan seseorang jika hanya setakat membuat apa yang Allah suruh tetapi pada masa yang sama dia melanggar larangan Allah, ataupun sebaliknya, meninggalkan larangan Allah tetapi pada masa yang sama tidak membuat suruhan Allah. Marilah kita sama sama berusaha untuk menjadi hamaba-Nya yang sentiasa berkata : (  سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ ) : Kami dengar dan kami patuhi, (mereka berdoa) : Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada Engkau lah kami kembali. (Al-Baqarah : 285)

Topik ini ustaz rasa sangat perlu direnung kerana kita masih dalam suasana memasuki " Tahun Hijrah Baru 1432H ". Semoga keimanan dan ke-Islam-an kita lebih baik pada tahun-tahun yang akan datang. Amin Ya Rabbal 'Alamin.