Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Khamis, 16 Disember 2010

Biar Pun Letih, Kami Tidak Kisah!

“Amin, bolehkah anta datang lewat sedikit? Kita keluar sekitar jam 10, ya? Kami nak siapkan budak-budak ini” saya menghantar sms.
Amin memberikan persetujuan.
Kami bercadang untuk melawat AQWA, The Aquarium of Western Australia yang terletak di Hillary’s Boat Harbour, kira-kira 40 minit ke utara ibu kota Perth. Selepas di AQWA, rancangannya adalah untuk kembali ke Perth dan menaiki bot dari jeti Barrack Street untuk ke Fremantle di selatan Perth. Bukan apa, sengaja mencari kelainan untuk melihat bandar Perth dari arah Sungai Swan, walaupun Fremantle boleh dituju dengan keretapi dan hanya memerlukan masa kurang 30 minit untuk tiba di sana.
Perjalanan yang agak jauh itu, memerlukan kami untuk bersiap awal.
Musim panas di Australia Barat, jam lima pagi mentari sudah bersinar-sinar membawa siang. Akan tetapi usaha untuk menguruskan empat orang anak kecil, memang memakan masa.
Memasak sarapan, membasuh baju, memandikan mereka, menyiapkan beg, membuang sampah dengan betul, meleraikan pergaduhan malah menjawab soalan-soalan yang ditanya, semuanya menjadi rutin harian. Tambahan pula semua itu perlu dilakukan bukan di rumah sendiri, tetapi di rumah sewa pelajar Malaysia yang kami tumpangi selama berada di sana.
“Yop, abi nak minta tolong sikit sahaja lagi. Boleh tak?” saya separuh menjerit dari dapur.
“Alaa, Yop lagi!” rungut beliau.
“Hari-hari Abi hantar Yop pergi sekolah, tak pernah abi sebut ‘alaa, Abi lagi! Betul tak?” saya memberi hujah kilas.
“Ye la ye la… ” Saiful Islam jalan terhoyong hayang akibat kimia kemalasan yang menguasai dirinya itu.
Saya berikan kepada beliau penyepit baju untuk diberikan kepada Ummi yang sedang menjemur di halaman belakang rumah.
“Allahu Akbar! Imad, kenapa tumpahkan keropok tu!” saya terkejut kerepek ubi berterabur di atas lantai.

“Kakak kacau Imad!” jawabnya.
“Mana ada. Akak minta sikit tapi Imad tak bagi. Dia lari-lari. Sebab itulah tumpah!” Naurah dengan penuh yakin mempertahankan diri.
“Eh, Muiz mana?” saya terkejut.
“Tak tahu!” jawab Naurah dan Imad.
Sungguh tidak membantu.
“Ehhh, Muiz tu!!!” saya meninggikan suara.
Muiz sedang memanjat tangga.
Disebabkan oleh tangisan Muiz sudah tidak berhenti-henti semenjak di dalam pesawat menuju ke Perth tempoh hari, saya hanya peduli kepada perbuatannya memanjat tangga, tetapi sudah ‘lali’ dengan tangisan anak bongsu kami ini. Muiz menangis mencari Ummi barangkali.
Saya bersegera mendapatkan Muiz dan meminta Naurah dan Imad bekerjasama bermain dengan adik mereka, sambil saya melangsaikan tugasan menyiapkan sarapan di dapur.
Selesai bersarapan, saya dan isteri perlu mengemas kesemuanya malah membasuh habis semua pinggan mangkuk. Musim panas di kawasan seperti ini, ada banyak serangga terutamanya lipas keluar dari sarang. Maka, jangan sekali-kali ada sisa makanan yang terbuka kerana ia mengundang kedatangan mereka tanpa mengira siang atau malam.
“Abi, Imad berak!” kata Imad.
“Ya Allaaah!” saya mengesat peluh di dahi.
Ummu Saif sedang menyusukan Muiz, maka sayalah yang perlu menguruskan Imad.
“Yop, bantu Abi sapu lantai sedikit, boleh?” saya berpesan kepadanya.
“Ok!” kata anak sulung yang sudah boleh diharap. Sekali sekala.
Setelah semuanya siap, barulah tiba giliran saya untuk mandi semula dan berkemas. Amin juga sudah tiba dan menunggu di bawah sambil memanaskan enjin van.
“Sudah siap semua?” saya bertanya.
“Sudahhh!” kata anak-anak sambil mereka bermain melontar bola rugby ke sana sini.
Semasa bersiar-siar di AQWA, saya mencuit bahu Saiful Islam.


“So, macam mana Yop?” saya bertanya.
“Kenapa, abi?” beliau terkejut.
“Yop rasa, susah tak menjadi ibu bapa?” saya sengaja menyoal.
“Susaaahhh!” ujar beliau sepenuh hati.
“Susah tang mana?” saya menyambung soalan.
“Susah la. Kena masak, kena basuh, kena sapu lantai, kena mandikan anak…” beliau menyenaraikan satu persatu ‘peristiwa’ yang dilihatnya di rumah.
“Kena leraikan pergaduhan, betul tak?” saya memintas.
Saiful Islam mengangguk.
“Jadi, Yop nak tak jadi suami dan jadi bapa nanti?” saya menguji.
“Tak naklah! Susah!” kata beliau sambil melayan kolam tapak sulaiman yang terbuka untuk disentuh oleh pengunjung.
“Kalau abi takut susah dan tak nak kahwin, tentu Yop, Naurah, Imad dan Muiz pun tak ada.  Tapi sebab abi dan ummi sayang, kami tak kisah walaupun susah. Betul tak?” saya mahu menyudahkan perbualan.
“Abi!” Saiful Islam menyampuk.
“Kenapa?” saya terkejut.
“Imad tumpahkan keropok lagi. Tengok tu!” katanya.
“Grrr!” kepala saya seperti bertanduk dua.
“Imaadddd!!!” suara raksasa muncul semula.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Nedlands 6009 WA