Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Selasa, 13 April 2010

Bisikan Wanita: "Ku Ingin Jadi Bidadari Itu... " ( ummuhusna99.blogspot.com )



Kereta MPV Honda Shuttle berwarna biru meluncur laju menyusuri lebuhraya. Cuaca dingin sejak pagi mulai beransur hangat. Matahari bersinar terang memancarkan cahaya. Saya dan keluarga bermusafir ke Lancaster untuk menjayakan ‘Kem Solat’ bersama warga Malaysia di sana.

Sepanjang perjalanan, saya mengambil peluang menikmati keindahan alam. Padang rumput yang menghijau. Juga, bunga-bunga Daffodil kelihatan tumbuh melata dengan kembang kuning yang menambah ceria. Damai. Menghilangkan resah dan risau.

Suami pula tenang memandu di sisi. Sesekali dia tersenyum sendiri. Mungkin tercuit hati dengan isi ceramah yang didengarnya melalui MP3. Ceramah tentang syurga dari Syeikh Anuar Awlaki.

“Hai..apalah yang disenyumkan tu?” usik saya, sengaja mahu mengajak suami bercerita.

Suami menoleh. Senyumnya belum lekang dari bibir. Bahkan makin melebar saat melihat saya menjeling sinis. Belum mahu menjawab, suami kembali memberi tumpuan kepada pemanduan dan isi ceramah.

Anak-anak di bahagian belakang, telah lama lena dibuai mimpi. Jarak perjalanan dari Leicester ke Lancaster, sememangnya agak jauh . Iaitu lebih kurang 2 jam 55 minit, mengikut anggaran navigator berjenama ‘Tomtom’ kami.


NIKMAT SYURGA

“Jangan lupa kongsi dengan As ya..” luah saya bila melihat suami ketawa kecil seakan geli hati. Sambil itu, saya menyua makanan dan minuman yang dibawa kepadanya. Itulah tugas saya setiap kali kami berkelana jauh begini.

Maklum dengan keletihan perjalanan jauh sebegitu, sekurang-kurangnya saya dapat berperanan menghilangkan jemu dan rasa mengantuk suami ketika memandu.

“Ada pendengar wanita menyoal Syeikh Anuar..” suami mula mahu berkongsi. Saya sabar menanti sementara menunggu suami menghabiskan bicara.

“Dia bertanya: mengapa al Quran tidak menerangkan SECARA JELAS kenikmatan yang diperolehi wanita di syurga?” tambah suami.

Saya mengangguk. Kepala ligat mengingati ayat tentang kenikmatan syurga yang disediakan bagi lelaki beriman dan bertaqwa. Bidadari syurga yang digambarkan sebegitu indah menerusi kalam-kalamNya yang mulia.


BIDADARI SYURGA

“Rasanya, kelebihan yang dimaksudkan tu ialah bidadari kan bang?” saya bertanya suami untuk meminta kepastian darinya. Kerana setakat pengetahuan saya, tiada kelebihan lain yang berbeza antara lelaki dan wanita di dalam syurga melainkan hanya bidadari yang disebut oleh Allah SWT menerusi ayat-ayat-Nya.

Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud :

”Dan ( di dalam syurga itu ) ada bidadari-bidadari bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan.” ( Surah Al-Waqi’ah ayat 22 – 23 )

“Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara khusus, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya” ( Surah Al-Waqi’ah ayat 35 – 37)

“Di dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Mereka (bidadari) seumpama yaqut dan marjan.” ( Surah Ar-Rahman ayat 56 – 58 )

“Ya..hanya itu sahaja yang berbeza. Selain itu, baik lelaki mahu pun perempuan, kedua-duanya menerima ganjaran yang sama,” jawab suami bersahaja.

“Orang perempuan ini abang…bila sebut bidadari, pasti ada rasa cemburu terhadap mereka,” balas saya mencebik. Sekadar bergurau untuk bermanja dan bermesra.

“Dalam syurga nanti, tak akan ada rasa cemburu tu. Kalau kerana cantik, mereka akan jadi lebih cantik dari bidadari, malah di syurga tiada semua perasaan negatif seperti sedih, terkilan dan seumpamanya. Semua yang dihajati akan diperolehi,” spontan suami membalas semula sambil ketawa kecil melihat saya.


CEMBURU

Saya merenung kehijauan rumput dan pohon-pohon kayu di tepi jalan. Di dalam hati saya membenarkan kata-kata suami. Walau di akhirat sana tiada lagi cemburu, namun ketika masih di dunia ini, perasaan itu sukar dipinggir dari sanubari.

Cemburu yang terbit dari rasa cinta kepada lelaki bergelar suami.

Cemburu yang lahir dari kegelisahan mengenang diri yang banyak dosa dan khilaf ini. Layakkah untuk bersamanya di syurga nanti?

Cemburu yang menghantui kala mengenang sabda junjungan mulia yang bermaksud :

“Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari yang menjadi isterinya di syurga akan berkata kepadanya : Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” ( Riwayat Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal ra )


ISTERI PENDAMPING SUAMI

Namun, bila merenung ingatan dari Rasulullah SAW mengenai peranan seorang isteri di sisi suami, hati saya kembali tenang. Yakin dengan janji-Nya bahawa, seorang isteri yang solehah kepada seorang suami, akan kekal menjadi ratunya di syurga di samping bidadari.

Peranan seorang isteri beriman amat penting dalam memantap dan membantu suami untuk taat kepada Allah, sebagaimana motivasi yang terkandung dari kabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” ( Riwayat Ibnu Majah )

Seorang isteri yang solehah, di samping bersikap menghargai suami, lemah lembut di hadapan suami, sama ada dari tindakan yang sopan, tutur kata yang manis dan manja, serta menampakkan pandangan yang tenang, bening dan jernih, dia juga akan selalu berusaha membantu suaminya untuk menguatkan keimanan kepada Allah dengan amalan-amalan soleh.

Dia menyedari cabaran besar lelaki dengan dunia luar hari ini, lantas berusaha menjaga daya tarik dirinya bagi suami yang dikasihi. Isyarat dari para bidadari yang menggambarkan keindahan dan keadaan penuh cinta mereka terhadap bakal suami yang ditunggu penuh setia.

Tidakkah keadaan ini sewajarnya menjadi cabaran kepada para isteri untuk memperbaiki layanan, penampilan dan segalanya ?


SUAMI SOLEH, ISTERI SOLEHAH

“Tapi perlu diingat satu fakta yang sering terpinggir dari perhatian ramai bagi seorang isteri untuk jadi solehah,” tiba-tiba suami kembali bersuara.

“Apa dia, bang?”saya menyoal penuh tanda tanya.

“Formula terbaik untuk menjadi isteri solehah adalah mempunyai suami yang soleh, kerana jika seorang isteri ingin menjadi solehah, ia amat sukar tanpa suami yang soleh,” tegas suami.

“Malah segala kebaikan isteri dan ciri-ciri solehahnya boleh sahaja disalah gunakan oleh si suami yang tidak soleh hingga akhirnya dia dizalimi,” tambah suami lagi sambil membetulkan cermin matanya.

Saya membenarkan kata-kata suami. Berapa ramai wanita hari ini yang kelihatan jauh dari ciri wanita solehah, tetapi dengan kehadiran seorang suami yang soleh, wanita itu berjaya dibentuk dan berubah kepada yang lebih baik. Nasihat kepada suri hatinya tentang penampilan seorang wanita Muslimah sentiasa dititikberatkan. Pergaulan isteri bersama lelaki yang bukan mahram, diselia sebaiknya agar tidak timbul fitnah yang merosakkan.

Dan tidak kurang juga, ramai wanita yang sebelum berkahwin merupakan wanita yang baik beragama, tetapi sejurus melangkah ke alam rumahtangga, semakin terhakis nilai keagamaannya kerana sikap suami yang tidak mementingkan penjagaan syari’at. Kecantikan dan aurat isteri dijaja dengan penuh bangga. Pemergian isteri bersama lelaki lain tidak pernah dipandang curiga dan lain-lain lagi.

Kerana itu, untuk melahirkan lebih ramai wanita solehah ialah dengan melahirkan lebih ramai lelaki soleh. Jika tidak, peluang ini akan semakin menipis dan mengecil. Fikirkanlah..


KU INGIN JADI BIDADARIMU…

Akhirnya, tiada wanita beriman yang melupakan cita-cita yang satu ini. Untuk menjadi bidadari bagi seorang suami di dunia dan akhirat adalah kemuncak impian seorang isteri. Mengharapkan destinasi cintanya akan sampai ke pengakhiran di dalam syurga yang abadi di sana. Kembali bersatu atas nama kasih, kekal selamanya dengan rahmat Allah Yang Maha Kaya.

Buat suamiku, terima kasih atas kiriman emel beserta alunan dari Munif yang amat membakar semangat diri ini untuk menjadi ‘bidadari’. Bantu isterimu untuk mencapainya..

Moga cinta kita membawa ke syurga, ameen Ya Rabb.

Bidadari, bidadari…temanilah resahku
Bidadari, bidadari…tenangkanlah jiwaku

Sumpah setia hidup mati
Selamanya…kerana kau isteriku
Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku

Bidadari, bidadari..jadilah pedampingku
Bidadari, bidadari…jadilah sang setia

Kerna cinta cinta suci, buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada cubaan yang tak terduga
Kau umpama bintang utara, penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan…saat ku jatuh…bangun semula

Dan berikan sakti cintamu, penawar racun berbisa
Dan ikatan kita.. cinta abadi hanya di syurga.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

disalin dari : http://ummuhusna99.blogspot.com/2010/04/ku-ingin-jadi-bidadari-itu.html

Doa agar dilindungi dari bencana


Rasulullah sallallaahu 'alaihi wasallam sering berdo’a:



وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ

وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيْعِ سَخَطِكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ


“Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari hilangnya nikmat-Mu,
dari berubahnya afiat-Mu, dari bencana yang datang tiba-tiba dan dari semua kemurkaan-Mu".
(HR. Muslim dalam kitab sahihnya).

sihat & lapang


Rasulullah -Sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda
نِعْمَتَانِ مَغْبُوْنٌ فِيْهِمَا كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

" Ada dua nikmat yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yaitu kesihatan dan waktu lapang". [Sahih Bukhari (6412)]

Solat witir


Soalan:
Apakah sah solat sunnah yang dikerjakan di seperti malam terakhir, namun sebelum tidur telah solat witir?

Jawab:

Solat malam itu lebih utama dikerjakan di sepertiga malam terakhir karena sepertiga malam terakhir adalah waktu nuzul ilahi (Allah turun ke langit dunia). Sebagaimana hal ini terdapat dalam hadith yang sahih, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Rabb kita turun ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman (yang artinya): 'Adakah seorang yang meminta? Pasti Aku akan memberinya. Adakah seorang yang berdoa? Pasti Aku akan mengabulkannya. Dan adakah seorang yang memohon ampunan? Pasti Aku akan mengampuninya’. Hal ini berlangsung hingga tiba waktu fajar.” (HR. Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah). Hadith ini menunjukkan bahwa solat di sepertiga malam terakir adalah sebaik-baiknya amalan. Oleh karena itu, lebih utama jika solat malam itu dikerjakan di sepertiga malam terakhir. Begitu pula untuk solat witir lebih utama untuk dijadikan sebagai akhir amalan di malam hari. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya, “Jadikanlah akhir shalatmu di malam hari adalah shalat witir ” (HR. Bukhari, dari Abdullah bin ‘Umar). Jadi, jika seseorang telah mengerjakan witir di awal malam, lalu ia bangun di akhir malam, maka tidak mengapa jika ia mengerjakan solat sunnah di sepertiga malam terakhir. Ketika itu ia cukup dengan amalan solat witir yang dikerjakan di awal malam karena Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang mengerjakan dua witir dalam satu malam.
[Syaikh Sholih Al Fauzan hafizhohullah, Al Muntaqo min Fatawa Al Fauzan no. 41, 65/19]

Artikel www.rumaysho.com